Jul 18, 2011

Hakikat Perjuang!

Assalamu'alaikum w.b.t.

Alhamdulillah, selesai sudah program ana bersama murabbi even 3 hari, tapi ia amat bermakna buat diri ana. insyaAllah. Sebelum tu, marilah sama-sama kita sedekahkan Al-fatihah buat Dr. Lo' Lo' yang telah kembali kerahmatullah malam semalam. Semoga beliau ditempatkan dikalangan orang yang beriman dan sentiasa mendahului redha Allah, dari redha dunia. Dan semoga setiap perjuangan beliau ada tempat di sisi Ilahi..insyaAllah ameen!!

Kita kehilangan lagi seorang serikandi yang amat bermakna di negara ini. Semoga ramai lagi serikandi seperti beliau. InsyaAllah, termasuk diri ana sendiri..ameen! sama-sama kita doakan untuk diri sendiri.

Baiklah.. setelah selesai dari program tersebut, terdapat banyak perkara yang ana dapat simpulkan. Sahabat-sahabat, PERJUANGAN itu dirancang oleh orang alim, digerakkan oleh mereka yang ikhlas, di perjuangkan oleh Sang Pemberani dan dinikmati oleh Si pengecut. Begitulah antara intipati pesanan Murobbiku Ustaz Yahya Othman baru-baru ini. Bagi ana, ia juga boleh dijadikan sebagai resolusi untuk Bersih 2.0 baru-baru ini.

Kenapa ana boleh kata begitu? mari ana terangkan.

Hidup Ini Perjuangan!
Kehidupan ini suatu perjuangan. Setiap yang hidup mempunyai perjuangan masing-masing. Ada yang sekadar berjuangan untuk hidup, mencari sesuap nasi bagi meneruskan kehidupan, yang mana ibaratnya boleh dikatakan kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.

Adapun, yang perjuangannya lebih sedikit, berjuang untuk mengubah status kehidupan keluarga daripada tahap miskin fakir kepada lebih berada dan selesa. Ada juga yang berjuang untuk memajukan diri dan kerjaya, sehingga mencapai kejayaan dalam erti kata lain, memiliki nikmat kehidupan dunia berupa harta, kekayaan dan seumpamnya. Materialnya lebih bersifat duniawi.

Tidak kurang juga yang melihat perjuangan itu sebagai satu perjuangan melonjakkan sesuatu idealisme dan ideologi, membawa perubahan minda dan kehidupan masyarakat, serta membawa umat daripada satu tahap ke tahap yang lebih baik di dunia ini. Namun, masih ramai yang seolah-olah berjuang atas dasar yang batil, sekadar memuaskan kehendak diri serta nafsunya dalam memuaskan kepentingan peribadi dan kelompok, yang berpaksikan matlamat menghalalkan cara.

Berkiblatkan Ilmu dan Orang Berilmu.
Namun sahabat-sahabat, menuntut ilmu juga satu perjuangan, sebagaimana Firman Allah s.w.t. yang bermaksud :"Mengapa tidak pergi dari tiap-tiap golongan di antara mereka beberapa orang untuk memperdalam pengetahuan mereka tentang agama?" (QS. At-Taubah:122)
yang mana, ia memerlukan komitmen dan kesungguhan untuk mencapainya. Membina keluarga yang mawaddah, sakinah serta hafizoh juga satu perjuangan.


Menyebarkan kebenaran juga satu  perjuangan untuk menghapuskan kezaliman dan kebobrokan manusia. Walaubagaimanapun, mendidik jiwa dan roh juga satu perjuangan untuk menuju Tuhan Rab al-Jalil. Namun, jika kita benar-benar merenung mana-mana perjuangan, ia pasti dimulakan oleh Orang Alim. Betul tak? Merekalah yang menggagas falsafah dan dasar-dasar perjuangan. 




Inilah hikmah Allah s.w.t. membangkitkan para nabi dan rasul untuk setiap umat dan pada setiap zaman, untuk membawa kemabli umat manusia kepada landasan perjuangan kehidupan yang sebenar. Selepas kewafatan Nabi s.a.w. tugas baginda diwarisi Khalifah, ulama dan mujaddid yang bangkit silih berganti sepanjang sejarah perjuangan umat ini. 


Kelompok kedua dalam perjuangan ialah mereka yang Ikhlas dalam perjuangan. Mukhlisin akan menjadi pengikut dan murid setiap bagi para alim yang memulakan perjuangan tadi. Mereka akan lahir sebagai pengikut yang jujur dengan perjuangan mereka. Sanggup berkorban demi memenangkan perjuangan dan mempunyai semangat berjuang yang tinggi. Keikhlasan mereka menjaga keaslian perjuangan dan membolehkan perjuangan itu diwarisi kepada generasi seterusnya. 


Inilah gambaran yang boleh ana bawa bagi mengenangkan perjuangan para sahabat, yang ibarat bintang-bintang yang bergemerlapan, mewarnai kehidupan perjuangan. 


Berani mengatasi Mehnah & Tribulasi
Namun begitu, perjuangan pasti berhadapan dengan pelbagai mehnah serta tribulasi. Ia ibarat lautan yang bergelora. Perjuangan itu mungkin menghadapi gelombang yang lebih hebat lagi. Sebab perjuangan untuk hidup, melangsungkan kehidupan, mencari erti kebahgiaan, cita-cita dan harapan memang akan berhadapan dengan pelbagai mehnah dan tribulasi.


Sebab itu, hanya mereka yang berani sahaja akan tegar bagi meneruskan perjuangan. Sang Pemberani akan untuh mempertahankan prinsip perjuangan, meskipun ramai yang telah lari meninggalkan barisan perjuangan. Mereka inilah yang akan terus mara dalam perjuangan, sehingga ke titisan darah yang terakhir. Sang Pemberani pasti meniupkan roh kemenangan dan kejayaan yang membakar semangat rakan seperjuangan. Sang Pemberani juga akan bersabar dengan derita perjuangan kerana itu merupakan mahar untuk mengapai Syurga Ilahi.


Namun, perjuangan memerlukan lebih ramai sang Pemberani seperti anda semua bagi mendukung dan menopang perjuangan ke tahap jayanya. Mereka yang menerobos perjuangan kehidupan, perlu memiliki keberanian dalam berjuang. Ingatlah! Sifat berani adalah fitrah yang dianugerahkan kepada mereka yang berjiwa menang. Berani itu kerana Benar dan Takut itu Kerana Salah. 




Pengecut Berjiwa Parasit!
Namun tidak dinafikan, dalam hakikat perjuangan ini, ada sekelompok yang hanya duduk sahaja menunggu kemenangan, sekadar bercita-cita mengecap nikmat kemenangan dengan menanguk di air keruh. Inilah Kelompok Pengecut yang berjiwa kecil. Jiwa kerdil mereka menjadikan mereka seperti parasit yang hanya menumpang kejayaan orang lain untuk kepentingan diri sendiri. Ada juga yang hanya tahu menadah telinga mendengar berita palsu serta mengeluarkan bijik mata melihat kezaliman dari Pemberita Munafik. Kelompok ini tidak jujur dengan perjuangan tetapi antara yang awal mendabik dada merayakan kemenangan. Berawaslah kita daripada kelompok ini. Nauzubillahi min zalik! 


Marilah kita thabatkan pendirian kita. Dimanakah kita? apakah kita ingin tergolong dalam kalangan kelompok pertama, kedua atau ketiga? atau sekadar berpada sebagai si pengecut yang menunggu sahaja peluang atas perjuangan orang lain? 


Jadi marilah kita menjadi manusia mulia yang bersama-sama dengan kelompok para pejuang. Perjuangan memerlukan gabungan mereka yang alim, ikhlas dan berani tetapi tidak si pengecut malah tetap memenangkan si kepala pengecut. Tepuk dada, tanyalah iman diri kita sendiri. Dimanakah Iman kita? 


"Ketahuilah, bahawa sesungguhnya Islam mempunyai dinding teguh dan pintu yang kukuh. Dinding Islam itu ialah keadilan. Sedang pintunya ialah kebenaran. Apabila dinding itu telah dirobohkan dan pintunya dipecah orang, Islam pun akan dapat di kalahkan. Islam akan sentiasa kuat selama pemerintahannya kuat. Kekuatan pemerintahan tidak terletak dalam angkatan perang atau keperkasaan angkatan kepolisan. Namun, dalam realitinya pelaksanaan yang dijalankan dengan segala kejujuran dan kebenaran serta keadilan".
[Umair Bin Sa'ad]

Wallahu'alam.